Tuesday, February 4, 2014

Francais terbukti sebagai strategi kembangkan perniagaan

FRANCAIS adalah sistem perniagaan moden yang mula diasaskan di negara Eropah dan telah berkembang dengan hebat di Amerika Syarikat (AS) sejak lebih 100 tahun yang lalu. Francais diambil daripada perkataan Perancis (franco) bermaksud kebebasan. Sejak itu, konsep francais ini mula dikenali kerana melaluinya francaisi atau usahawan diberikan hak untuk menjalankan perniagaan yang sama seperti di tempat asalnya dengan syarat-syarat tertentu.

Era baru industri francais tercetus apabila McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka sekitar tahun 1850-an.

Ini diikuti oleh General Motors bagi industri automotif di AS yang menjalankan pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar francais di awal 1900.

Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonald's oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan francais. Kini rangkaian McDonald's telah menembusi pasaran di seluruh dunia dan menjadi gaya hidup masyarakat moden.

Di samping itu, pada masa yang hampir sama Kolonel Harlan Sanders telah mempelopori Kentucky Fried Chicken, diikuti oleh rangkaian restoran makanan segera yang lain seperti Burger King, A&W, Pizza Hut dan lain-lain. Walaupun perniagaan francais seringkali dikaitkan rangkaian makanan segera, namun realiti hari ini, dari segi nilai jualan, hampir dua pertiga daripada jualan francais sebenarnya disumbangkan oleh industri bukan berasaskan makanan segera.

Berdasarkan laporan World Franchise Council (WFC) pada tahun 2013 yang lalu, beberapa negara telah mencatatkan peningkatan terbaik di dalam sektor francais. Dicatatkan sektor francais di Jepun telah menyumbang kepada nilai jualan sekitar USD225 bilion (RM752.67 bilion) setahun dengan 1,260 sistem francais dengan lebih 230,000 francaisi.

Di Brazil, terdapat 2,426 sistem francais dengan lebih 104,543 francaisi dengan nilai jualan lebih USD51 billion (RM170.61 bilion) setahun. Diikuti Perancis dengan 1,658 sistem francais dengan lebih 65,000 francaisi dengan nilai jualan lebih 60 bilion Euro (RM270.72 bilion) setahun. Jerman mempunyai 985 sistem francais dan lebih 72,000 francaisi dengan nilai jualan lebih 61.2 bilion Euro (RM276.13) setahun dan Afrika Selatan mempunyai 668 sistem francais dan lebih 30,000 francaisi dengan nilai jualan lebih USD31 bilion (103.13 bilion) setahun

Francais di MalaysiaHakikatnya, sistem perniagaan francais mula berkembang di Malaysia sejak tahun 1940-an dengan dipelopori oleh jenama produk isi rumah iaitu Singer dan Bata, kemudian sistem berkenaan menjadi terkenal kepada rangkaian restoran makanan segera bermula tahun 1970-an dan 80-an seperti KFC, A&W dan McDonald's. Restoran makanan segera ini berkembang pesat ke seluruh negara melalui sistem francais tersebut sehingga masyarakat Malaysia menganggap sistem berkenaan hanya eksklusif kepada sektor berkenaan. Sehingga kini, sejumlah 689 perniagaan francais telah didaftarkan di Malaysia dengan 491 produk tempatan. Sektor makanan masih mendahului iaitu sebanyak 35 peratus, diikuti Pusat pembelajaran kanak-kanak (12 peratus), pakaian dan aksesori (11 peratus).

Sebenarnya, sistem ini terbuka kepada semua jenis perniagaan yang boleh dikembang atau dikongsikan dengan usahawan lain termasuk sektor kesihatan, perkhidmatan, pendidikan dan pelbagai lagi. Justeru, bermula minggu hadapan melalui ruangan yang terhad ini, kita akan berkongsi secara terperinci mengenai bagaimana menjadi usahawan francais, obligasi francaisor dan francaisi, kelebihan produk, pembiayaan, perlindungan kepada perniagaan francais, pasaran, promosi serta cabaran di masa akan datang.

Secara amnya, kita perlu memahami dahulu definisi francais di Malaysia. Menurut Akta Francais Malaysia 1998, francais didefinisikan sebagai kontrak atau perjanjian sama ada secara nyata atau tersirat, lisan atau tertulis di antara dua orang atau lebih meliputi maklumat memberi hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh pemilik untuk tempoh tertentu. Terdapat dua faktor penting dalam sistem ini yang perlu diketahui iaitu francaisor dan francaisi. Francaisor adalah pemilik sesebuah jenama yang difrancaiskan, manakala francaisi adalah penerima hak sesebuah perniagaan secara francais dan boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu induk, kawasan dan unit.

Ringkasnya, sistem perniagaan francais yang diiktiraf di bawah akta adalah sistem francais format perniagaan. Ini bermakna, sesuatu perniagaan yang mempunyai produk, tanda nama atau cap dagangan dan sistem yang lengkap boleh berdaftar dengan Pendaftar Francais Malaysia (ROF) di bawah Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Selepas berdaftar dan diberikan lesen francais, barulah sesebuah perniagaan itu boleh dikategorikan sebagai perniagaan francais di Malaysia.

Kesimpulannya, francais adalah satu sistem perniagaan yang telah diterima di seluruh dunia dan telah terbukti sebagai satu daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan. Secara umumnya, sistem francais ini jauh lebih mudah berbanding memulakan sesebuah perniagaan baharu jika dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Buktinya sudah jelas iaitu sejumlah 55 produk francais Malaysia telah berjaya menembusi pasaran di 52 buah negara dengan 1,962 outlet merangkumi negara Indonesia, Singapura, China, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelebihan sistem francais berbanding cara konvensional, perkara berkenaan akan dikupas pada artikel minggu hadapan.

PENULIS adalah Pengerusi Persatuan

Francais Malaysia

ArtikelPenuh:http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140203/ek_05/Francais-terbukti-sebagai-strategi-kembangkan-perniagaan#ixzz2sKE46p40 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI