Tuesday, February 4, 2014

PUNB lantik 50 akauntan bantu syarikat

KUANTAN 3 Feb. - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), akan melantik 50 akauntan bagi membantu syarikat-syarikat bumiputera yang bermasalah dalam pengurusan kewangan daripada terus mengalami kerugian.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 2,040 usahawan iaitu 30 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat bumiputera yang gagal dalam pengurusan kewangan sehingga merencatkan jadual pembayaran balik pinjaman kepada agensi itu.

"Sebanyak 30 peratus daripada 6,800 syarikat bumiputera dikenal pasti gagal menyediakan penyata kira-kira masing-masing sehingga mendorong PUNB melakukan pembaharuan dengan melantik 50 akauntan bagi membantu mereka mulai pertengahan bulan ini.

"PUNB mengambil langkah ini kerana faktor mereka gagal sehingga menyebabkan kerugian adalah tiada akauntan yang menguruskan sistem perakaunan seperti duit keluar, masuk, untung, rugi, pemasaran dan tiada kemas kini dalam pengurusan kewangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Usahawan PUNB di Bilik Mesyuarat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan Setiausaha Korporat dan Tadbir Urus PUNB, Ahmad Faisal Mohd. Basir.

Menurut Mohd. Ali, akauntan yang akan dilantik itu merupakan bekas pelajar universiti yang belum mempunyai pekerjaan.

Mereka kata beliau, akan diberi tempoh sehingga setahun untuk memastikan kewangan syarikat berkenaan berada dalam keadaan baik, pulih dan menguntungkan.

"Sekiranya berjaya, syarikat berkenaan boleh melantik mereka sebagai akauntan tetapi sekiranya pengurusan kewangan syarikat terlibat masih belum pulih, PUNB berkemungkinan memanjangkan skim ini atau mencari pendekatan lain," jelasnya.

Sementara itu katanya, sebanyak RM270 juta disediakan PUNB bagi manfaat lebih 600 usahawan daripada pelbagai bidang pada tahun ini.

"PUNB turut menyediakan perkhidmatan baharu dalam pinjaman perniagaan tahun ini iaitu pinjaman pembelian bangunan perniagaan," katanya.

Dalam pada itu katanya, agensi tersebut menubuhkan jawatankuasa khas dalam kalangan usahawan di setiap negeri bagi membincangkan masalah dan hala tuju usahawan bumiputera supaya terus maju ke hadapan.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140204/ek_02/PUNB-lantik-50-akauntan-bantu-syarikat#ixzz2sKDI35OE 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI