Tuesday, February 4, 2014

Lesen stesen minyak kecil luar bandar dibuka semula

Datuk Hassan Malek (tengah) melancarkan buku Transformasi Stesen Minyak Mini Luar Bandar ‘3 Tahun bersama Buraqoil 2011-2013’ di Kuala Lumpur semalam. Turut serta, Pengerusi IPTB Sdn Bhd, Tan Sri Sabbaruddin Chik (kanan) dan Pengarah Eksekutif IPTB Sdn Bhd, Mohd Khilmi Yusop (kiri). - Foto Asyraf Hamzah

PERMOHONAN lesen untuk membuka stesen minyak luar bandar yang dibekukan kerajaan pada 2007, kini dibuka semula, sekali gus mewujudkan peluang kepada usahawan untuk menceburi bidang peruncitan petrol dan diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek, berkata langkah itu diputuskan bersesuaian dengan tuntutan semasa bagi mensejahterakan lagi kehidupan masyarakat luar bandar.

“Dengan tiada lagi pembekuan, sudah tentu ia akan mewujudkan peluang baru kepada mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang peruncitan petroleum di luar bandar.


“Kementerian berharap peluang ini diambil oleh mereka yang benar-benar berminat untuk menjadi usahawan yang jujur dan beretika,” katanya pada majlis makan malam bersama pengusaha stesen minyak Buraqoil dan pelancaran buku transformasi stesen minyak mini luar bandar “3 Tahun Bersama Buraqoil 2011-2013” di Kuala Lumpur semalam.

Buraqoil ialah jenama stesen minyak mini luar bandar yang diperkenalkan oleh IPTB Sdn Bhd. Syarikat itu diberi mandat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membekalkan petrol dan diesel bersubsidi kepada stesen minyak luar bandar.

Selain itu, IPTB juga menyediakan perkhidmatan menaik taraf stesen luar bandar sedia ada bagi memberikan keselesaan.

Hassan menegaskan bahawa dengan penarikan semula pembekuan itu, kerajaan tidak mahu lagi melihat ada kalangan pengusaha sama ada sedia ada atau yang akan muncul kelak terbabit dalam aktiviti yang melanggar akta dan peraturan sedia ada.
“Sekiranya ada, kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada pihak yang terbabit.

“Ini kerana pengusaha menjual barang kawalan yang bersubsidi dan kita tidak mahu melihat kehilangan wang subsidi negara yang tinggi kepada pihak yang tidak sepatutnya akibat daripada aktiviti penyelewengan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNKK mahu melihat IPTB meningkatkan lagi peranan bagi menjaga kebajikan dan membantu serta membimbing pengusaha di bawah kendalian syarikat agar lebih berdaya saing, profesional dan maju.

“Saya memberi perhatian kepada perniagaan stesen minyak kerana ia adalah satu aktiviti perniagaan yang membabitkan barang keperluan rakyat. Tanpa petrol atau diesel, kita tidak boleh bergerak, dan perniagaan tidak dapat diteruskan.

“Bagi pihak kerajaan, KPDNKK akan sedaya upaya membantu memudahkan pembukaan stesen minyak mini luar bandar di bawah jenama Buraqoil selagi mana mereka memenuhi syarat dan keperluan di bawah garis panduan permohonan,” katanya.

Hassan berkata, kejayaan IPTB bukan saja kerana melakukan perubahan ketara ke atas stesen minyak mini luar bandar yang serba daif kepada stesen minyak mini yang selesa dan selamat, malah lebih penting lagi ialah kemampuan melahirkan usahawan stesen minyak mini luar bandar.

Katanya, walaupun tidak setanding dengan kemampuan pengusaha stesen minyak berjenama di bandar-bandar utama, namun kewujudan Buraqoil menjadi pelengkap kepada keperluan penduduk luar bandar dalam menikmati kemudahan bekalan petrol dan diesel bersubsidi sebagai mana di bandar besar.

Sumber: Berita harian

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI